GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


PENGEKALAN kadar dasar semalam (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan menjadi pemangkin perkembangan ekonomi domestik.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tindakan BNM mengekalkan OPR amat penting untuk membantu merancakkan ekonomi negara.

Katanya, BNM juga dijangka akan mengekalkan OPR, sepanjang 2024.

"Ini memandangkan faktor utama yang mempengaruhi kadar faedah global adalah kadar faedah Amerika Syarikat yang sudah dinaikkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) kepada 5.25 ke 5.5 peratus, lebih setahun lamanya.

"Jangkaan awal pengurus dana bahawa ia akan diturunkan pada bulan Mac ataupun Jun kelihatan tidak akan tercapai, kerana diberitakan kadar inflasinya masih di atas 3.0 peratus dan jauh lagi daripada sasaran 2.0 peratus.

"Kemungkinan besar ia tidak akan dinaikkan lagi, malah besar kemungkinan dikekalkan sepanjang tahun ini.

"Ekonomi AS juga dilaporkan terus berkembang baik walaupun ekonomi rakan dagang utamanya terus perlahan seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan Jepun.

"Maka julat perbezaan antara OPR Malaysia dan kadar faedah dijangka kekal kerana tiada sebarang pergerakan untuk merapatkannya," katanya.

Menurutnya, sekalipun Fed AS dijangka menurunkan sehingga 1.0 peratus dalam jarak masa terdekat kepada 4.25 ke 4.5 peratus, ia tetap lebih tinggi daripada OPR 3.0 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemungkinan Ringgit Malaysia dijangka akan mengukuh sedikit apabila AS menurunkan kadar faedah terbabit.

Justeru, katanya pengekalan OPR akan menjadi pemangkin perkembangan ekonomi domestik terutama apabila faktor kewangan mempunyai kestabilan.

"Dengan mengekalkan OPR, maka lebih mudah kepada rakyat Malaysia dan peniaga untuk membuat perancangan dalam ekonomi global yang tidak menentu sekarang," katanya.

Kelmarin, menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pengekalan OPR oleh BNM itu adalah bagi kali keenam berturut-turut sejak Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 6:10 AM