BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi dalam negara yang mampan bagi jangka masa panjang dalam keadaan harga yang stabil.

Menerusi Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan hari ini, BNM menekankan bahawa operasi pertukaran asing dan monetari juga akan terus memastikan mudah tunai mencukupi dalam pasaran pertukaran asing, wang dan bon kerajaan.

"Kesemua ini akan melengkapkan dasar BNM lain bagi memastikan pasaran kewangan domestik dan pengantaraan kewangan berfungsi dengan lancar.

"BNM komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan mengenai langkah-langkah dasar yang berkaitan, terutamanya pembaharuan struktur," tambahnya.

Menurut bank pusat usaha itu bukan sahaja akan menangani cabaran ekonomi pada masa terdekat, malah turut meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Selain itu, BNM menjelaskan selepas empat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) berturut-turut pada 2022, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat Januari dan Mac 2023.

Keputusan itu membolehkan MPC mengkaji semula kesan kumulatif kenaikan OPR pada 2022 terhadap ekonomi Malaysia kerana perubahan dasar monetari mengambil masa untuk mempengaruhi aktiviti ekonomi sepenuhnya, tambah BNM.

BNM memaklumkan bahawa penilaian menunjukkan tiada tanda-tanda berlaku pengetatan berlebihan dalam ekonomi, sebaliknya, ekonomi dalam negara terus berkembang, dengan pengangguran menurun dan peningkatan perbelanjaan isi rumah berterusan.

Justeru, dengan mengambil kira semua perkembangan itu dan prospek pertumbuhan dalam negara yang berdaya tahan pada 2023, MPC memutuskan mengembalikan lagi OPR ke paras wajar, dengan meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Mei, jelas BNM.

"Oleh itu, OPR telah kembali ke paras sebelum pandemik iaitu 3.00 peratus dan melalui tindakan itu, MPC telah mengakhiri sepenuhnya rangsangan dasar monetari yang diberikan semasa krisis COVID-19 untuk menyokong pemulihan ekonomi," menurutnya.

Bagi kadar pertukaran ringgit pada 2023, BNM terus mengadakan perbincangan dan interaksi dengan pelabur dan syarikat besar termasuk pengeksport berhubung aktiviti pertukaran asing mereka.

BNM turut memantau rapi pertukaran hasil eksport kepada ringgit oleh pengeksport tempatan besar, tambahnya.

"Baru-baru ini, kerajaan dan BNM juga telah mengambil langkah-langkah yang terselaras untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing yang diperoleh kepada ringgit dengan lebih konsisten.

"Langkah-langkah ini secara kolektif akan menyumbang kepada aliran masuk yang lebih besar dan berterusan lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh," jelas BNM.

Sementara itu, BNM juga memaklumkan analisis ekonomi dan penyelidikan dasar BNM pada 2023 memberikan tumpuan pada penilaian daya tahan ekonomi Malaysia terutama dalam keadaan cabaran luaran serta memahami dengan lebih lanjut pendorong inflasi dalam negara.

"Melalui analisis senario, BNM menilai bagaimana kekukuhan pemulihan ekonomi China boleh memberikan kesan pada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berikutan hubungan perdagangan yang rapat.

"Dari segi inflasi, BNM mengkaji dengan lebih mendalam sama ada perubahan harga di Malaysia didorong oleh faktor seluruh ekonomi atau faktor khusus mengikut sektor, serta pendekatan yang berbeza untuk mengukur inflasi asas," tambahnya.

Menurut bank pusat sepanjang 2023, BNM terus memantau dengan teliti kesan perubahan OPR sebelum ini terhadap ekonomi yang lebih luas, di mana BNM memantau dengan teliti tanda-tanda pengetatan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dalam negeri

BNM turut menyumbang kepada pembentukan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang diluluskan oleh Dewan Negara pada November 2023, jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 11:52 AM