BANK Negara memaklumkan pelarasan agresif dalam kadar faedah AS  menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.
BANK Negara memaklumkan pelarasan agresif dalam kadar faedah AS menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

TA Securities menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun ini selepas kenaikan kadar kali ketiga setakat ini, jangkaan yang berlawanan dengan ramalan umum.

Firma penyelidik itu berkata, ia menjangkakan meskipun dengan peningkatan inflasi, kerajaan sebaliknya akan memperkenalkan langkah lain menerusi pembentangan Bajet 2023 tidak lama lagi bagi membendung tekanan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Kami meramalkan bank pusat tidak akan menaikkan lagi OPR dalam tempoh beberapa bulan menjelang akhir tahun. Kita mungkin tidak akan melihat kenaikan OPR pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada November ini meskipun dengan peningkatan inflasi dan prospek pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan dijangka memperkenalkan langkah di bawah Bajet 2023 menerusi subsidi dan bantuan tunai bagi mengekang tekanan inflasi," kata dua penganalisis TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar dan Farid Burhanuddin.

TA Securities berkata, BNM berkemungkinan akan meneruskan kenaikan OPR pada 2023 untuk menjadikan kadarnya kembali ke tahap sebelum pandemik iaitu 3.00 peratus.

"Ini membayangkan bahawa terdapat dua lagi kenaikan OPR tahun depan kepada paras sebelum Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut firma itu berkata, prospek kadar faedah lebih tinggi secara luaran, ringgit yang lemah dan risiko inflasi meningkat akan mengekalkan BNM dalam laluan pengetatan dasar monetari.

Katanya, kenaikan dalam OPR juga adalah perlu untuk mengekalkan jurang tertentu antara kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan OPR Malaysia.

"Jurang yang terlalu luas boleh menyebabkan peningkatan aliran keluar modal dari Malaysia. Perbezaan kadar faedah semasa ialah 25 mata asas dan dijangka mengecil lagi kepada negatif kerana Fed akan meneruskan pengetatan dasar yang agresif," katanya.

Shazma Juliana dan Farid berkata, peniaga kini melihat kepastian hampir berlaku dengan Fed merancang kenaikan kadar faedah 75 mata asas ketiga berturut-turut apabila ia bermesyuarat akhir bulan ini.

"Siri data ekonomi positif dan kenyataan daripada pegawai Fed menunjukkan dasar yang ketat mungkin akan berterusan pada masa hadapan. Baru-baru ini, Pengerusi Fed Jerome Powell memberi amaran kenaikan akan diteruskan dan kadar yang lebih tinggi berkemungkinan akan kekal.

"BNM juga menyebut pelarasan agresif dalam kadar faedah AS menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

"Ini telah mengakibatkan turun naik yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan, menjejaskan mata wang pasaran utama dan sedang pesat membangun yang lain," katanya.

TA Securities berkata, kenaikan kadar boleh mengurangkan kelemahan ringgit, yang telah jatuh ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia pada 1998, apabila aliran selamat dan peningkatan hasil AS mengukuhkan dolar.

"Sehingga penutupan Rabu, ringgit merosot kira-kira 7.5 peratus setakat tahun ini kepada RM4.5025 berbanding dolar AS daripada RM4.1665 yang dicatatkan pada akhir Disember 2021.

"Ia bagaimanapun, masih berada pada kedudukan lebih baik berbanding mata wang lain seperti won Korea Selatan (merosot 13.89 peratus) dan yen Jepun (susut 19.91 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 7:01 AM