JAJARAN WCE Banting-Taiping Seksyen 9 dan 10  sepanjang 45 kilometer  dijangka  dibuka kepada pengguna jalan raya  bulan ini.
JAJARAN WCE Banting-Taiping Seksyen 9 dan 10 sepanjang 45 kilometer dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya bulan ini.
Noor Hidayah Tanzizi


MANJUNG: Jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping untuk Seksyen 9 dan 10 dari Lekir ke Beruas sepanjang 45 kilometer (km) dijangka dibuka kepada pengguna bulan ini.

Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong berkata, pembinaan dua jajaran berkenaan sudah siap, namun pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum ia boleh dibuka secara rasmi.

Katanya, jajaran Seksyen 9 membabitkan 28 km dengan empat plaza tol iaitu Kampung Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara dan Changkat Chermin manakala Seksyen 10 sepanjang 17 km dengan hanya satu plaza tol iaitu Beruas.

“Kami sudah menyiapkan dua jajaran ini bulan lalu tetapi ia masih belum dibuka (secara rasmi kepada pengguna) kerana terdapat beberapa prosedur yang perlu dilakukan selepas ia siap dibina.

“Jadi, kami menunggu semua laporan pemeriksaan yang dijalankan oleh LLM dan mewartakan jalan berkenaan sebelum ia dibuka,” katanya pada sesi penerangan bersama media di Ibu Pejabat WCE Perak di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya tidak akan membuka dua jajaran berkenaan selagi belum mendapat kelulusan LLM atas sebab keselamatan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir dilaporkan berkata, jajaran Seksyen 9 dan 10 iaitu persimpangan dari Lekir ke Beruas dijangka dibuka selewat-lewatnya bulan lalu.

Beliau dipetik berkata, jajaran WCE akan dibuka secara berperingkat dan untuk keseluruhannya WCE akan dibuka sepenuhnya pada akhir tahun depan.

NEOH
NEOH

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:50 AM