TAN Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika hadir bagi mendengar keputusan berkaitan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian hotel di Sarawak di Mahkamah Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TAN Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika hadir bagi mendengar keputusan berkaitan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian hotel di Sarawak di Mahkamah Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suraya Roslan


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan tiada bukti menunjukkan kod 'salam' antara Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pegawai khas politiknya iaitu Muhammad Zahid Md Arip berkaitan wang rasuah.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi sebelum ini, Muhammad Zahid yang juga saksi pendakwaan ke-21 memberitahu hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa 'salam' daripada Mohd Isa sebagai petanda meminta wang.

Mahkamah Rayuan hari ini ketika membebaskan Mohd Isa daripada sembilan pertuduhan rasuah berkata, tiada bukti menunjukkan wujud persefahaman sedemikian antara perayu (Mohd Isa) dan Muhammad Zahid untuk menggunakan kod berkenaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, membuat keputusan secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Mohd Isa, 75, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, semasa pemeriksaan balas, Muhammad Zahid memberikan keterangan yang bercanggah.

"Muhammad Zahid menyatakan perayu memberi 'salam' sebelum setiap transaksi, beliau (Muhammad Zahid) kemudiannya bersetuju bahawa perayu tidak memberikan 'salam' sebagai isyarat sebelum setiap transaksi.

"Beliau kemudian menyatakan bahawa walaupun penyampaian 'salam' adalah satu kod, ia tidak termasuk dalam kenyataan saksi; dan saksi juga mengakui dia hanya menggunakan 'salam' yang tidak pernah diberikan seperti sebelum ini dan perayu memberi 'salam' sebelum setiap transaksi.

"Kami perhatikan wujudnya percanggahan material ini dalam jawapan yang diberikan oleh Muhammad Zahid berhubung isu penting penyampaian salam daripada Mohd Isa ini sebagai isyarat kepada Muhammad Zahid untuk menuntut bayaran dibuat daripada Lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel dan tidak dinilai dengan betul oleh hakim bicara," katanya.

Panel juga menegaskan Hakim Mohd Nazlan sepatutnya menilai jawapan Muhammad Zahid ketika pemeriksaan balas kerana ia sangat penting dan membantu hakim bicara untuk meneliti kredibiliti, konsistensi dan ketepatan keterangannya.

"Lebih-lebih lagi apabila Muhammad Zahid menyatakan jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh Ikhwan ialah RM3 juta, tetapi apabila jumlah yang dinyatakan dalam sembilan pertuduhan itu dikira melebihi RM3 juta, dan tiada penjelasan munasabah diberikan oleh Muhammad Zahid untuk percanggahan ini.

"Kami mendapati keputusan hakim bicara bahawa terdapat tuntutan bayaran dibuat oleh perayu melalui Muhammad Zahid dan Ikhwan sudah membuat sembilan pembayaran melalui Muhammad Zahid kepada Mohd Isa tidak disokong oleh bukti yang boleh dipercayai.

"Bukti menunjukkan Ikhwan membuat sembilan bayaran kepada Muhammad Zahid tetapi selain keterangan lisan Muhammad Zahid, tiada bukti lain menunjukkan perayu menerima bayaran ini daripada Ikhwan," kata hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 3:26 PM