MOHD Isa ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Aswadi Alias
MOHD Isa ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Aswadi Alias
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa setiap kali bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad menyampaikan ‘salam’ melalui pegawai khasnya, beliau memahami ia sebagai satu ‘petanda’.

Ikhwan, 59, berkata ‘salam’ yang disampaikan menerusi Muhammad Zahid Mat Arip itu menunjukkan Mohd Isa memerlukan wang dan ia diberikan menerusi Muhammad Zahid.

Berdasarkan penyataan saksi yang dibacakannya, Ikhwan berkata, Muhammad Zahid sekali-sekala ada menghubunginya untuk menyampaikan ‘salam’ daripada Mohd Isa dan beliau memahami.

“Kali terakhir saya akur dengan permintaan dan serahkan wang kepada Muhammad Zahid adalah pada Julai 2014.

“Jadi, pada fahaman saya selepas menerima panggilan dan ‘salam’ ini, Muhammad Zahid perlukan wang untuk diberikan kepada Mohd Isa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan hari ke-10 kes Mohd Isa yang berdepan tuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta

Saksi ke-16 itu berkata, dalam tempoh Julai 2014 hingga Disember 2015, terdapat sembilan beg mengandungi wang kertas bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000 dengan jumlah keseluruhan RM3 juta diberikan kepada Muhammad Zahid yang datang bersendirian menerusi sembilan pertemuan di beberapa lokasi.

Katanya, setiap kali selepas dihubungi Muhammad Zahid, beliau akan menghubungi pemilik JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab bagi meminta wang tunai.

“Bayaran pertama pada pertemuan hujung Julai 2014, saya menyerahkan wang RM100,000 kepada Muhammad Zahid diberikan kepada Isa.

“Saya maklumkan kepada Muhammad Zahid wang RM100,000 akan ditolak daripada baki RM3 juta dijanjikan sebelum ini dan pendahuluan ini, adalah duit saya sendiri, manakala pada perjumpaan kedua saya berikan wang berjumlah RM140,000,” katanya.

Saksi itu berkata, ‘salam’ ketiga dan keempat adalah pada Oktober dan November 2014 masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM250,000; Jun dan Julai 2015 masing-masing RM500,000; Ogos 2015, RM300,000; September 2015 dan Disember 2015 masing-masing berjumlah RM500,000.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 1:51 PM