BERNAMA

BEKAS Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menafikan dirinya menerima wang sebanyak sembilan kali berjumlah RM3 juta daripada pegawai khas politiknya.

Beliau menafikan ada menerima wang itu daripada Muhammad Zahid Md Arip berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Sarawak pada 2014.

"Saya tidak pernah membincangkan ataupun bertanya kepada Zahid mengenai status pembelian MPHS.

"Saya tidak pernah mengarahkan Zahid untuk meminta Haji Ikhwan (ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel) memberikan ganjaran kepada saya kerana membantunya meluluskan pembelian MPHS.

"Saya juga tidak pernah mengirimkan apa-apa salam kepada Haji Ikhwan kerana beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saya dan saya langsung tidak mengenalinya secara peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Katanya, setiap kali Zahid datang ke pejabatnya (Mohd Isa), Zahid hanya akan membawa dokumen dan tidak pernah membawa beg kertas ataupun beg besar lain.

"Sebagai ahli politik, saya seorang yang berhati-hati dan tidak mungkin akan menerima wang apatah lagi dengan jumlah yang begitu banyak di Menara Felda di mana orang ramai terutamanya staf saya boleh melihatnya.

"Pergerakan saya juga sentiasa ditemani oleh pengawal dan pemandu, jadi sekiranya saya ada menerima wang dalam kuantiti yang begitu banyak, tidak mungkin saya dapat membawanya sendiri dan tidak mungkin juga untuk saya membenarkan pengawal untuk membawa duit sebegitu banyak," katanya.

Mohd Isa juga berkata beliau tidak pernah membantu dan meluluskan pembelian MPHS kerana tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

"Saya sendiri menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pembelian MPHS, jadi mengapakah secara tiba-tiba saya meminta wang pula?

"Saya tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada Haji Ikhwan dan beliau juga tidak pernah menjanjikan apa-apa imbuhan kepada saya. Saya langsung tidak terbabit atau mengetahui berkenaan perbincangan yang berlaku di antara Haji Ikhwan dengan Zahid Md Arip," katanya.

Katanya, beliau tidak memahami bagaimana boleh timbul perkataan 'Salam' sedangkan tidak pernah berikan sebarang salam kepada Ikhwan.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-16, Zahid memberitahu mahkamah bahawa setiap kali Mohd Isa akan menyampaikan 'salam' kepada Ikhwan ia adalah petanda yang menunjukkan Mohd Isa memerlukan wang.

Ketika ditanya peguamnya Datuk Salehuddin Saidin berhubung pemecatan Zahid, Mohd Isa menjawab "awal 2017 kerana ketika itu dia mula menyokong Pakatan Harapan."

Mohd Isa dilantik sebagai pengerusi FICSB pada 2 Julai 2013 ketika FICSB mula-mula ditubuhkan oleh Felda dan beliau juga seorang daripada ahli Lembaga Pengarah FICSB, namun menamatkan perkhidmatannya pada 25 Januari 2017 setelah empat tahun memegang kedua-dua jawatan itu.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

BEKAS Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO BERNAMA
BEKAS Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 5:02 PM