ISA Samad ketika hadir di Mahkamah Putrajaya, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ISA Samad ketika hadir di Mahkamah Putrajaya, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, rayuan itu difailkan hari ini.

"Ya, kami sudah fail," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Rayuan terakhir akan didengar di Mahkamah Persekutuan.

Semalam, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Mohd Isa, 75, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, mahkamah mendapati keputusan hakim bicara bahawa terdapat tuntutan bayaran yang dibuat oleh perayu (Mohd Isa) melalui saksi pendakwaan (SP) ke-21 (bekas pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip) dan SP16 (bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel) membuat sembilan pembayaran melalui SP21 kepada perayu adalah bukti yang tidak boleh dipercayai.

Panel juga menegaskan bahawa Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya menilai jawapan Muhammad Zahid ketika pemeriksaan balas kerana ia sangat penting dan membantu hakim bicara untuk meneliti kredibiliti, konsistensi dan ketepatan keterangannya.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda di Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 3:06 PM