ANWAR melancarkan Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Majlis Penutup KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir (dari kiri) Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama (dari kanan) Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga  Dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof. FOTO BERNAMA
ANWAR melancarkan Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Majlis Penutup KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir (dari kiri) Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama (dari kanan) Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof. FOTO BERNAMA
Hafiz Ithnin

Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac lalu meneliti 10 bidang libat urus yang inklusif bagi membangunkan ekonomi Bumiputera Malaysia yang dilihat semakin mencabar.

Sepuluh kumpulan libat urus itu mencakupi bidang reformasi pendidikan dan modal insan, pendidikan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) pilihan kerjaya, penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat, daya saing perusahaan Bumiputera, pengukuhan industri halal dan pengukuhan industri baharu.

Lima bidang lain yang turut diketengahkan adalah penguasaan teknologi baharu, pembangunan desa dan pemerkasaan Masyarakat Orang Asli, sosiekonomi Bumiputera Sabah, sosioekonomi Bumiputera Sarawak serta Felda dan tanah wilayah.

Sepuluh bidang libat urus yang dibincangkan menerusi KEB 2024 membabitkan kehadiran 10,000 peserta sepanjang tiga hari KEB berlangsung terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) pelajar institut pengajian tinggi (IPT), usahawan dan pemain industri. KEB 2024 anjuran bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Ekonomi dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Perbincangan libat urus itu diadakan di seluruh negara sejak 11 Januari hingga 6 Februari lalu yang akhirnya pada sidang kemuncak KEB 2024 pada 2 Mac lalu dibentangkan oleh tokoh di dalam bidang terbabit.

Antara tokoh yang terbabit di dalam pembentangan bidang libat urus itu ialah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (reformasi pendidikan dan modal insan), Ketua Operasi Kumpulan Bermaz Auto Bhd, Datuk Shamsuddin Amran (TVET pilihan kerjaya utama), Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar (penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr Hafsah Hashim (daya saing perusahaan Bumiputera).

Tokoh lain yang membentangkan bidang libat urus itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah & Tokoh Etnik 2022, Prof Madya Datuk Ts Dr Ramzah Dambul (sosioekonomi Bumiputera Sabah) dan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani (sosioekonomi Bumiputera Sarawak).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ucaptama merasmikan KEB 2024 berkata, semua intipati hasil kongres itu akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera.

Katanya, pelan jangka panjang Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera itu akan dirangka untuk tempoh 10 tahun yang akan datang dan dijangka diluncurkan pada Jun 2024.

"Bagi mendukung aspirasi yang diutarakan oleh semua lapisan masyarakat, saya berpandangan agenda pemerkasaan ini wajar dilaksanakan melalui beberapa pemacu yang menjadi fokus utama yang saya agihkan kepada tiga isbat.

"Pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara.Ia perlu memberi fokus kepada beberapa pemacu utama yang membabitkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar," katanya.

PESERTA KEB 2024 tekun mendengar ucapan Perdana Menteri semasa Majlis Penutup KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO BERNAMA
PESERTA KEB 2024 tekun mendengar ucapan Perdana Menteri semasa Majlis Penutup KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO BERNAMA

Jelasnya lagi, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi. Penekanan kepada penghayatan dan falsafah Bumiputera, pengukuhan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkitan pelaburan kerajaan (GLIC) dan perusahaan milik negara (SOE) perlu diberi tumpuan khusus. Bahkan, etika kerja dan nilai integriti yang tinggi perlu diterapkan dalam tatakelola dan institusi kita.

"Ketiga, menegakkan keadilan sosial. Isbat ini perlu memberi tumpuan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial. Antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan akses kepada infrastruktur asas yang berkualiti," katanya.

Pada ucaptama itu juga, beliau berkata, selaras dengan ikthiar kerajaan dalam memperkasakan agenda Bumiputera.

"Sukacita saya mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun yang akan diterajui oleh Mara dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Mara selari dengan hasrat penubuhan agensi ini sebagaimana yang telah dinukilkan oleh pemimpin kita terdahulu.

"Wakaf Mara Madani akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat Bumiputera dan memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan yang semakin mencabar di alaf baru ini," katanya.

Tambahnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah memberi limpah perkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf berkenaan.

Prestasi Wakaf Mara Madani akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

"Kerajaan turut bersetuju melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp.

"Bagi memanfaatkan tanah-tanah wakaf terbiar, Belanjawan Madani 2024 juga menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah-rumah mampu milik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:00 AM