DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi . FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi . FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu dasar pembangunan ekonomi Bumiputera perlu diwujudkan bertujuan memacu dan memperkasakan perusahaan mereka secara holistik.

Beliau berkata pemerkasaan perusahaan Bumiputera perlu dipacu ke peringkat yang lebih tinggi dan global bagi memastikan pemilikan serta penguasaan dalam ekonomi dapat direalisasikan serta usahawan mendapat manfaat dalam skala yang lebih besar.

"Sejak Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang pertama dilaksanakan, ramai peniaga telah mendapat manfaat daripada usaha kerajaan dalam menggalakkan serta merangsang Bumiputera untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.

"Tidak dinafikan ramai usahawan yang berjaya dan cemerlang telah dilahirkan sejak KEB 1965," katanya kepada Bernama bersempena dengan KEB 2024 yang dijadualkan berlangsung esok hingga 2 Mac ini.

"KEB yang pertama diadakan pada 7 Jun 1965 dirasmikan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, antara lain berjaya melahirkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menjadi entiti istimewa bagi memeta hala tuju dan gerak kerja memajukan Melayu serta Bumiputera dalam segenap bidang terutama ekonomi, pendidikan dan sosial.

Ahmad Zahid berkata setakat Januari lalu, 29.8 peratus atau 357,863 jumlah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaftar, dimiliki oleh bumiputera.

Beliau dalam pada itu berkata satu dashboard usahawan Bumiputera perlu dibangunkan bagi mengenal pasti program berstruktur dan bersasar yang dapat dimanfaatkan oleh usahawan untuk meningkatkan keupayaan syarikat seterusnya.

Selain itu, katanya dashboard itu juga bagi memastikan sesebuah syarikat tidak menerima bantuan yang sama daripada pelbagai agensi.

KEB 2024 dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula esok dengan objektif utama pemerkasaan agenda Bumiputera dalam 10 kumpulan ekonomi negara.

Ia menjadi antara agenda penting kerajaan Madani bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif dan inovatif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 10:19 AM