Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita yang memukul polis menggunakan batang penyapu hingga cedera di muka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistrest, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasrina Osman, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mazana dalam penghakimannya menetapkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Hasrina didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Muhammad Taufik Sayutin yang melakukan tugas sebagai penjawat awam yang sah di Taman Melaka Raya, Melaka Tengah, 10.45 malam, 7 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh mengamuk dengan memecahkan barang dan menyuruh abangnya menghantarnya ke rumah ibu mereka di Paya Jaras, Selangor.

Abangnya yang tidak dapat mengawal keadaan terpaksa menghubungi Balai Polis Banda Hilir untuk mendapatkan bantuan sebelum dua anggota polis tiba.

Anggota terbabit cuba mententeramkan keadaan, namun, tertuduh mencederakan seorang daripada anggota polis itu menggunakan batang penyapu sehingga cedera di muka sebelum ditangkap.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman tertuduh diringankan dengan alasan pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Katanya, tertuduh yang masih bujang dan tidak bekerja juga menyesali tindakan agresifnya itu dan berjanji tidak mengulanginya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari yang memohon hukuman setimpal atas faktor keseriusan kes membabitkan mangsa penjawat awam dan kecederaan dialaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 1:54 PM