DATUK Seri Ab Rauf Yusoh. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Ab Rauf Yusoh. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Melaka menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka dan Invest Melaka, komited untuk memberi kerjasama penuh dan sokongan kepada Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) dalam usaha meningkatkan pelaburan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata selain menyokong hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, langkah itu akan menjadikan Malaysia, khususnya Melaka sebagai negeri mesra pelabur dan perniagaan sejajar dengan aspirasi pelaburan nasional.

Beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga suku ketiga 2023, MIDA sudah meluluskan pelaburan baharu dan tambahan bernilai RM19 bilion ke Melaka yang merangkumi 480 projek selain mewujudkan 10,427 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan peringkat jawatan.

"Ketika saya memegang jawatan sebagai Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Melaka pada 2022, kita berjaya mencatat pelaburan tertinggi bernilai RM8.574 bilion, sekali gus diiktiraf antara lima negeri meraih nilai pelaburan tinggi oleh MIDA.

"Ini menunjukkan kejayaan hasil usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta yang menggembleng tenaga mewujudkan ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif serta kompetitif," kata kepada pemberita selepas merasmikan Melaka Industrial Night 2024 di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Mengulas selanjutnya, Ab Rauf turut berkongsi kejayaan Melaka menarik sebanyak 151 projek pelaburan bernilai RM4.7 bilion pada suku kedua 2023.

Ini termasuk pelaburan tambahan RM1 bilion daripada KOA Denko Malaysia Sdn Bhd yang juga pembekal elektronik global dari Jepun.

"Justeru, besar harapan saya agar tahun ini kita dapat mengembangkan lagi potensi pelaburan negeri Melaka sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini dan mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global yang lebih stabil," katanya.

Beliau juga optimis terhadap keyakinan pelabur ke atas Melaka yang mempunyai tiga kawasan zon perdagangan bebas.

"Dari sudut tawaran sumber manusia pula, Melaka turut mendapat perhatian apabila 23 rakan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri ini memberi keyakinan kepada pelabur berimpak tinggi dari segi mendapatkan sumber manusia mencukupi untuk industri," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 19 syarikat menerima anugerah penghargaan Jawatankuasa Industri Negeri Melaka, termasuk Anugerah Penghargaan Pelaburan Lima Bintang kepada tiga syarikat yang berjaya mencatat nilai pelaburan tertinggi bagi 2023.

Syarikat itu adalah Malaysian Refining Company Sdn Bhd, Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunpower Malaysia Manufacturing Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 9:19 AM