RAUF Yusoh (kiri) ketika hadir pada majlis pecah tanah kilang Texas Instruments(TI) Incorporated di Batu Berendam, hari ini. FOTO Bernama
RAUF Yusoh (kiri) ketika hadir pada majlis pecah tanah kilang Texas Instruments(TI) Incorporated di Batu Berendam, hari ini. FOTO Bernama
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri berjaya memperoleh nilai pelaburan bernilai RM5 bilion, sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pihaknya optimis jumlah itu akan terus meningkat melebihi RM8 bilion menjelang akhir tahun ini menerusi pelaburan beberapa lagi syarikat gergasi dunia.

Beliau berkata, nilai RM5 bilion terbabit adalah menerusi pembinaan bangunan baharu syarikat Texas Instruments Electronics di Batu Berendam, di sini.

"Untuk nilai pelaburan di Melaka, kita dijangka memperoleh lebih daripada apa yang disasarkan kerana RM5 billion (yang disasarkan itu) berjaya diperoleh pada pertengahan tahun ini.

"Ia sekali gus menepati sasaran tetapi kita akan dapat lebih banyak lagi daripada tahun ini, Insya-Allah. Jumlahnya nanti akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, namun akan melebihi daripada nilai pelaburan tahun lalu iaitu sebanyak RM8.2 bilion," katanya selepas melakukan upacara pecah tanah kilang baharu Texas Instruments Electronics, Batu Berendam di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET , Datuk Khaidirah Abu Zahar, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian McFeeters serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri mensasarkan untuk menarik minat lebih banyak syarikat konglomerat dari AS yang terkenal sebagai pengeluar elektronik dunia untuk melabur di Melaka.

Katanya, ia mampu direalisasikan memandangkan Melaka sudah terkenal sebagai sebuah negeri mesra pelabur dalam kalangan pemain industri antarabangsa.

Beliau berkata, Melaka juga sudah terbukti menjadi negeri pilihan dan mendapat keyakinan cukup tinggi dalam kalangan pelabur membabitkan syarikat multinasional berpangkalan di Eropah sebelum ini.

"Saya ada bertanya kepada Duta AS ke Malaysia mengenai syarikat dari negara kuasa dunia itu yang akan melabur di Melaka. Setakat ini, Texas Instruments adalah antara syarikat dari AS yang bertapak di Melaka selain Kuala Lumpur sejak lebih 50 tahun lalu.

"Saya berharap dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat ini, kita dapat menyaksikan lebih banyak syarikat konglomerat dari AS untuk melabur di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:09 PM