Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Tidur atas papan lapis beralaskan kertas, kawasan penginapan busuk serta satu bilik tiga orang antara kesalahan dilakukan majikan terhadap pekerja asing dikesan dilakukan di tapak pembinaan di Kampung Tanjung, di sini.

Operasi bersepadu dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri ke tapak pembinaan itu mendapati majikan dikesan melakukan lebih seratus kesalahan.

Pengarah JTK Negeri, Mohd Hajazy Jusoh berkata, kesalahan lain dilakukan majikan adalah pembinaan kediaman untuk warga asing tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Katanya, walaupun majikan mendapat kelulusan sementara untuk pembinaan struktur daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi pembinaan kediaman dibina tidak menepati piawaian ditetapkan.

"Walaupun sudah mendapat kelulusan sementara tetapi majikan perlu mengemukakan perakuan penginapan mengikut seksyen 24D, Akta 446.

"Majikan sepatutnya menyediakan katil, tilam dan almari berkunci serta pelbagai kemudahan asas lain termasuk tandas dan bilik air yang lebih selesa untuk pekerja asing di tapak pembinaan," katanya.

Mohd Hajazy berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu pematuhan penginapan pekerja (Akta 446) dan saringan COVID-19, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan kertas laporan lengkap kesalahan dilakukan majikan tapak pembinaan itu untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan undang-undang.

Mengenai ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing, Mohd Hajazy berkata, seramai 7,744 daripada 11,164 warga asing sudah menjalani proses ujian saringan, manakala 3,423 belum membuat ujian saringan.

Katanya, majikan yang menggunakan khidmat pekerja asing digesa supaya segera melakukan ujian saringan Covid-19 bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka mengikut Akta Pencegahan

dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

MOHD Hajazy Jusoh (dua kanan) meninjau keadaan rumah penginapan pekerja warga asing semasa di tapak pembinaan sekitar daerah Kuala Terengganu.  FOTO Ghazali Kori
MOHD Hajazy Jusoh (dua kanan) meninjau keadaan rumah penginapan pekerja warga asing semasa di tapak pembinaan sekitar daerah Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

"Kerajaan menyediakan 5,625 Rapid Test Kid Antigen untuk pengesanan jangkitan Covid-19 percuma kepada majikan. Setakat ini kita dimaklumkan hanya 1,450 sudah di hantar ke klinik panel Perkeso selepas mendapat permohonan daripada majikan untuk melakukan ujian saringan ke atas pekerja mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 4:01 PM