DR Ismail mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi EAIC bersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan seliaan 2024, hari ini. FOTO Bernama.
DR Ismail mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi EAIC bersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan seliaan 2024, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Sepang: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 176 aduan berkaitan salah laku, tahun ini dengan kebanyakan membabitkan Jabatan Imigresen (JIM), kata Pengerusinya Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata, daripada 176 aduan itu, antara aduan utama dikenal pasti ialah berkaitan aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya hingga menyebabkan kekecewaan kepada pengadu iaitu 59 aduan, selain aduan agensi tidak mengikut prosedur operasi standard (37), salah guna kuasa (24) serta rasuah (19).

"Daripada keseluruhan 176 aduan terbabit, sebanyak 90 peratus telah diselesaikan. Tindakan diambil antaranya menjalankan siasatan penuh sama ada kes berlaku atau tidak dan meminta agensi kenal pasti (kes) dan (pegawai) diberi amaran, dibuang kerja, diturunkan pangkat serta (sekatan) kenaikan gaji," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Koordinasi EAIC Bersama Ketua Jabatan Agensi Penguatkuasaan Seliaan 2024 yang dihadiri 21 agensi seliaan di sini, hari ini.

Menurut Ismail, tindakan di bawah P.U. (A) 395 Perlembagaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 melibatkan pembuangan kerja pegawai kerajaan yang didapati terbabit salah laku atau integriti akan diperkukuhkan pelaksanaannya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, EAIC menekankan tindakan bersesuaian diambil bagi salah laku mengikut akta di agensi masing-masing, namun syor EAIC adalah tindakan pembuangan kerja diambil sekiranya berlaku salah laku dalam kalangan penjawat awam tanpa menunggu kes diselesaikan di mahkamah.

"Di bawah akta sedia ada (P.U. (A) 395) membenarkan perkara itu (pembuangan kerja) dilaksanakan tetapi ada prosesnya. Sebelum ini ada kes pegawai kerajaan dihentikan kerja tanpa melalui proses mahkamah," katanya.

Ismail berkata, pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan keberkesanan dalam perkhidmatan awam, antaranya pembuangan kerja selain saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan yang tidak melaporkan kecurangan berlaku dalam agensi masing-masing.

Ditanya sama ada penguatkuasaan gagal membendung ketirisan, Ismail berkata, penambahan bilangan anggota penguat kuasa tidak memadai sekiranya tanpa bantuan peralatan canggih seperti alat pengesan di pelabuhan dan pintu masuk negara.

Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah alat pengesan dan memperkukuh penggunaan alatan di pintu masuk untuk mencegah salah guna kuasa dalam kalangan anggota.

Mengenai penahanan kira-kira 40 pegawai penguat kuasa khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ismail berkata EAIC akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tindakan pembuangan kerja terhadap pegawai terlibat, namun perlu menunggu siasatan SPRM serta penasihat undang-undang EAIC.

Ismail berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang program pengukuhan integriti di 21 agensi seliaan EAIC, selain menyeru agar 100 agensi lain di bawah kementerian dapat dimasukkan dalam seliaan EAIC sebagai usaha memastikan tiada kompromi dalam isu integriti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 5:04 PM