LOGO SPRM
LOGO SPRM
BERNAMA

Putrajaya: Tapisan amat ketat dilakukan terhadap pengambilan pegawai baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mereka turut diarah menjalani ujian air kencing selain lulus ujian 'poligraf' bagi mengesan penipuan.

Langkah itu bagi memastikan individu yang benar-benar mempunyai potensi dan berintegriti dipilih untuk menyertai SPRM.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Datuk (Dr) Asariah Mior Shaharuddin berkata, setiap aduan salah laku membabitkan warga kerja SPRM yang diterima Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) selaku unit integriti akan dipantau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM secara berkala setiap tiga bulan.

Menurutnya, JKA adalah salah satu daripada lima badan pemantau bebas yang dilantik melalui Akta SPRM 2009 dan berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang dalam memantau pengendalian oleh Suruhanjaya ke atas aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai Suruhanjaya.

Beliau berkata, sebagai langkah tambahan dalam memperkasakan integriti, SPRM menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman (CED) di bawah BCP pada Jun tahun lalu untuk menyiasat kes-kes jenayah rasuah pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

Menurutnya, SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang mempunyai integriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku.

Beliau juga berpendapat badan pencegah rasuah itu telah menjalankan peranannya bagi memupuk sifat integriti dan tatakelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.

Selain itu, SPRM juga mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang juga satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

"SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas dari dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja," katanya.

Sementara itu menurutnya, bagi tempoh dari tahun 2020 sehingga 2022, SPRM mengambil tindakan tatatertib ke atas 23 pegawai yang didapati terbabit dalam kes salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti yang tidak sesuai dengan etika SPRM.

Asariah berkata, daripada jumlah berkenaan, 10 daripadanya dibuang kerja dan majoriti yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat di bawah tujuh tahun.

Menurutnya, walaupun jumlah yang dibuang kerja adalah kecil dan tidak membimbangkan, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 1:24 PM