PENDUDUK Palestin cuba mendapatkan makanan di Beit Lahia. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin cuba mendapatkan makanan di Beit Lahia. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa badan antarabangsa bagi melaksanakan tekanan secara global untuk memasuki Gaza, Palestin dengan menghantar sekumpulan kapal membawa bantuan kemanusiaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini kerana gerakan dengan kapal flotila melalui Laut Mediterranean dilihat sebagai satu sahaja laluan untuk ke Gaza.

"Semua negara yang mampu dan sanggup menyertai dalam menghantar kumpulan kapal mereka yang membawa bantuan kemanusiaan yang dihalang daripada memasuki Gaza. "Gesaan untuk satu tindakan bersepadu bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada 1.5 juta penduduk di Gaza yang kebuluran dan menjadi pelarian tidak sepatutnya ditangguhkan lagi.

"Semua kerajaan yang meminta supaya dilaksanakan gencatan senjata tidak seharusnya teragak-agak menyertai langkah terakhir ini untuk menyelamatkan Gaza daripada pembunuhan beramai-ramai.

"Tekanan antarabangsa perlu dilakukan bersungguh-sungguh untuk memaksa sekatan di Gaza dibuka dan penyaluran bantuan harus dilanjutkan dengan serta-merta," katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua agensi antarabangsa gagal mengekang jenayah genosid rejim Israel di Gaza.

Beliau menegaskan Israel mengenakan kepungan yang menjejaskan Semenanjung Gaza sejak 2006 yang menggugat penjagaan kesihatan paling asas, makanan, air minum, juga infrastruktur penting untuk membantu kehidupan.

Beliau berkata sejak 7 Oktober 2023, kemusnahan infrastruktur dan kehilangan nyawa daripada pengeboman dan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan telah mengakibatkan malapetaka yang dahsyat di Gaza.

"Pembunuhan beramai-ramai paling kejam ke atas warga Palestin di Gaza dalam lebih dari 140 hari, malah semasa perbicaraan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Israel telah melaksanakan pengeboman tidak henti-henti meragut ratusan nyawa setiap hari.

"Serangan selama lima bulan dengan lebih daripada 29,000 kematian orang awam (termasuk lebih 15,000 kanak-kanak) dan 70,000 mangsa cedera adalah lebih daripada cukup untuk merumuskan bahawa Israel melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang amat kejam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 7:26 AM