HASNUL Hakim (tengah) pada sidang media Nur Al Mustafa Malaysia susulan isu Mawla Amin di Madrasah Darul Uloom Al Mustafa (DUAM) Kubu Gajah. FOTO  Saifullizan Tamadi
HASNUL Hakim (tengah) pada sidang media Nur Al Mustafa Malaysia susulan isu Mawla Amin di Madrasah Darul Uloom Al Mustafa (DUAM) Kubu Gajah. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Sungai Buloh: "Kami nafikan isu yang ditimbulkan ini, (ia) semata-mata untuk jatuhkan reputasi, khianat dan tidak berasas."

Begitu jawapan Pengerusi Darul Uloom Al Mustafa (DUAM) Hasnul Hakim Muhammad Zain terhadap dakwaan mengaitkan organisasi itu dengan beberapa isu sejak beberapa hari lalu.

Hasnul Hakim berkata, tuduhan terbabit dipercayai dibuat oleh seorang bekas tenaga pengajar madrasah yang dibuang kerja atas masalah disiplin.

"Pada peringkat awal laporan di akhbar tidak dipaparkan nama dan tempat kejadian, namun selepas dikaitkan dengan seorang tokoh dai kami, jelas ia dituju kepada kami.

"Kami mahu jawab laporan akhbar bertajuk 'Pukul dan diseksa tidur dalam tandas', tiada bukti (kejadian) dan ia cuma permainan persepsi," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hasnul Hakim berkata, kejadian itu membabitkan seorang tenaga pengajar yang memukul adiknya sendiri kerana melanggar peraturan.

Menurutnya, video itu dipercayai dirakam dan disebarkan dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasi madrasah.

"Bapa kepada ustaz dan pelajar terbabit sudah membuat laporan polis (penafian)," katanya.

Sementara itu, Hasnul Hakim berkata, dakwaan pihaknya membeli tanah seluas 11 hektar di Melaka untuk mewujudkan sebuah perkampungan disifatkan sebagai salah faham.

Menurutnya, ia sebaliknya satu kertas kerja usaha dakwah sejak 2017 bagi membangun sebuah kompleks bertemakan 'Kota Cinta'.

"Cuma ia sekadar cadangan yang masih jauh kerana tidak berkemampuan disebabkan kekangan daripada segi dana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:01 PM