HASNUL ZULKARNAIN
HASNUL ZULKARNAIN
Farah Suhaidah Othman


IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) serius untuk membawa bekas pemain terbaik dunia, Ronaldinho untuk menyertai pasukan The Bos Gaurus di pentas kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) pada Februari tahun depan.

Presiden PAFA Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, meskipun hasrat untuk membawa bekas pemain Brazil dan Bercelona itu ke negeri ini dianggap bahan jenaka, keputusan itu tidak mustahil berikutan Ronaldinho pernah menyatakan hasrat untuk menyertai mana-mana pasukan di negara ini tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Katanya, setakat ini PAFA sedang berusaha untuk menghubungi ejen penerima Ballon d’Or tahun 2005 itu untuk perbincangan selanjutnya.

“Ronaldinho sendiri pernah menyatakan hasrat untuk bermain di negara ini mempromosikan kempen Piala Dunia Rusia di Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Konvoi Jalur Gemilang peringkat negeri 2018 di sini hari ini.

“Saya rasa daripada segi bayaran tidak menjadi halangan berikutan beliau sendiri memberitahu sedia untuk bermain di sini tanpa mengenakan bayaran, jadi saya menyahut cabaran itu.”

Hasnul berkata, pihaknya difahamkan bekas pemain terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dua tahun berturut-turut itu, kini diuruskan abangnya sendiri.

“Kami sedang berusaha untuk menghubungi ejen yang menguruskan beliau, walaupun difahamkan beliau sudah tidak bermain bola sepak sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Sebelum ini, Hasnul dalam satu kenyataan menegaskan berminat mendapatkan khidmat Ronaldinho selepas Perak dijangka mengisi kekosongan slot mewakili Malaysia di pentas kelayakan ACL selepas berjaya menamatkan saingan Liga Super Malaysia 2018 di tangga kedua.

Hasnul turut menjelaskan kredibiliti dan kemahiran yang ada pada Ronaldinho juga amat diperlukan dalam misi memastikan Perak melepasi pusingan kedua kelayakan sekali gus layak ke peringkat kumpulan ACL.

Hasnul berkata, pengalaman dan kemahiran yang ada pada bintang bola sepak itu juga dilihat mampu memperkuat permainan pasukan selain menarik peminat bola sepak berkunjung ke stadium.

“Faktor tarikan dan pengalaman beliau sebagai pemain bola sepak ternama mampu untuk memeriahkan lagi suasana ACL dan liga super di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 9:33 PM