Hasnul Zulkarnain ketika bertemu dengan Muhyiddin hari ini. Foto Ihsan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim
Hasnul Zulkarnain ketika bertemu dengan Muhyiddin hari ini. Foto Ihsan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim
Balqis Jazimah Zahari

"SAYA memilih untuk bersama Bersatu kerana melihat kesungguhan Tan Sri Muhyiddin (Yassin)," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan keputusan memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya sudah memohon dan mengisi borang keahlian (menyertai Bersatu) pada akhir Mei dan diluluskan pada 3 Jun lalu.

"Saya bersama Tan Sri Muhyiddin kerana melihat kesungguhannya membawa politik baharu yang menekankan budaya akauntibiliti dan sistem penyampaian yang lebih telus," katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata, selain itu keputusannya itu didorong kerana parti itu yang berada di dalam gabungan kerjasama parti Melayu Islam.

Menurutnya, dia sudah menyertai Bersatu sejak 3 Jun lalu namun secara rasminya mendapat ruang bertemu dengan Perdana Menteri untuk menyerahkan nombor keahlian hari ini.

Beliau berkata, kelewatannya menyertai Bersatu adalah kerana mengambil masa untuk meredakan suasana politik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya mengambil masa meredakan suasana politik dan semasa itu sedang PKP dan agak tidak sesuai untuk mengisytiharkan saya bersama Bersatu, saya tidak mahu mengganggu pandemik Covid-19 dengan polemik politik," katanya.

Bekas Exco Perak itu berkata, beliau mendaftar sebagai ahli Bersatu di Cawangan Kampung Kedah dalam kawasan Parlimen Parit Buntar.

Hasnul Zulkarnain berkata, rakyat di kawasan Titi Serong setakat ini menerima baik keputusannya untuk menyertai kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN).

"Alhamdulillah, sebelum ini pun saya memang fokus kepada membuat kerja, mendapatkan bantuan, peruntukan, pembangunan dan memajukan fakir miskin.

"Jadi apabila saya membuat keputusan untuk bersama dengan kerajaan mereka menerima dengan baik," katanya.

Beliau turut mengulas apabila ditanya pemberita berkenaan kemungkinan kritikan beberapa pihak berkenaan keputusannya memilih Bersatu.

"Perbezaan politik memang akan berlaku, penerimaan ataupun tidak bergantung kepada individu dan saya memilih untuk bersama dengan kerajaan kerana saya merasakan ada perkara yang perlu saya lunaskan.

"Saya lebih kepada mahu menerapkan politik yang menekankan khidmat kepada rakyat dan bukan politik 'kepartian' atau bersifat amarah," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Hasnul Zulkarnain mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi ADUN Bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 11:32 PM