GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan penurunan kes kecemasan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC), tahun ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebanyak 670 panggilan diterima sejak 5 Februari sehingga semalam, berbanding 1,128 panggilan yang direkodkan tahun lalu.

"Sejumlah 236 panggilan kebakaran diterima dalam masa 10 hari itu, manakala 433 panggilan penyelamatan membabitkan kemalangan jalan raya, mencari dan menyelamat, bencana alam serta kecemasan.

"JBPM Selangor turut menerima satu panggilan tugas khas membabitkan operasi yang memerlukan perkhidmatan bomba seperti kawal pembakaran kertas Cina, pembakaran jerami, bantuan agensi kerajaan, gotong-royong dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah panggilan kebakaran itu menurun berbanding tahun lalu apabila sebanyak 161 panggilan direkodkan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina dari 17 Januari hingga 27 Januari 2023.

Katanya, begitu juga bagi panggilan penyelamatan yang merekodkan 967 panggilan bagi tempoh sama tahun lalu.

Untuk rekod pada 2022, sebanyak 901 panggilan kebakaran dan penyelamatan diterima manakala 961 panggilan (2021) dan 699 panggilan (2020).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 4:59 PM