Ismail (dua dari kiri) melancarkan Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan dan Keselamatan Keluarga Malaysia di sebuah pusat beli belah di sini hari ini. FOTONSTP SAMADI AHMAD
Ismail (dua dari kiri) melancarkan Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan dan Keselamatan Keluarga Malaysia di sebuah pusat beli belah di sini hari ini. FOTONSTP SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad

Putrajaya: Cuti 12,500 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membabitkan 324 balai di seluruh negara dibekukan bermula Disember sehingga Februari depan sebagai persiapan menghadapi Sambutan Tahun Bahru Cina.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, JBPM akan menempatkan anggota dan aset di 17 lokasi strategik di sepanjang Lebuhraya PLUS dan Pantai Timur bermula 24 Januari sehingga 8 Februari 2022.

Menurutnya, orang ramai disaran sentiasa peka kepada aspek keselamatan diri, keluarga dan harta benda khususnya ketika musim cuti perayaan.

Katanya, semua pihak perlu sentiasa berwaspada dan memastikan kebakaran, kemalangan jalan raya dan kejadian lemas tidak berlaku dengan mudah.

"Statistik kes penyelamatan dan kematian akibat lemas masih merekodkan jumlah yang tinggi setiap tahun dan perkara ini amat membimbangkan semua pihak," katanya pada Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan dan Keselamatan Keluarga Malaysia di sebuah pusat beli belah di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Pada majlis sama beliau turut menyempurnakan pelepasan pasukan JBPM serta jentera yang terbabit dalam kesiapsiagaan musim perayaan sepanjang tempoh operasi berlangsung.

Statistik JBPM pada 2021 merekodkan sebanyak 35,902 kes panggilan kebakaran yang diambil tindakan menyebabkan kerugian berjumlah RM1.76 billion.

Pada tahun sama, jumlah mangsa meninggal akibat lemas adalah seramai 306 orang mencatatkan peningkatan sebanyak 28.06 peratus berbanding 2020.

Ismail berkata,JBPM juga akan melakukan rondaan di jalan persekutuan dan negeri termasuk melakukan rondaan pemantauan di kawasan rekreasi air seperti air terjun, tempat perkelahan awam serta pantai yang sering menjadi tumpuan orang awam.

Katanya, kelulusan cuti hanya dihadkan kepada 20 peratus daripada keanggotaan negeri, zon dan balai disamping memastikan keperluan aset, peralatan pemadaman serta penyelamatan dalam keadaan siap siaga dan mencukupi.

"Semua pihak perlu bekerjasama dalam menjaga keselamatan dan tidak menyerahkan tanggungjawab semata-mata kepada pasukan keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:32 PM