TUAN Ibrahim
TUAN Ibrahim
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Pindaan Perlembagaan harus dilakukan segera bagi mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri, Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Raja-Raja sebagai ketua agama dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pelindung agama Islam di setiap negeri.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana kaedah dalam perbicaraan dan syarat menjadi hakim dalam mahkamah syariah jelas berbeza daripada syarat dalam mahkamah sivil.

Bahkan katanya, syarat menjadi saksi serta kaedah perundangan Islam turut memiliki sistemnya yang tersendiri.

Tuan Ibrahim berkata, pernyataan bahawa mahkamah sivil juga sama dalam membicarakan kes-kes takzir adalah tidak tepat, kerana syarat saksi dan hakim tidak memenuhi syarat dalam sistem perundangan Islam.

"Peristiwa ini mendedahkan kesan dramatis ditinggalkan penjajah yang secara tidak langsung mengubah landskap perundangan negara kita, meskipun pelbagai usaha dilakukan sehingga terbentuknya sistem mahkamah syariah, namun ia tetap masih jauh dari mencapai kesempurnaan hukum Islam secara menyeluruh.

"Pertindihan kesalahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil seharusnya sudah selesai sejak adanya peraturan yang membahagikan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

"Sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) yang dibahas dalam Dewan Negeri sudah melalui penapisan dan penelitian dari Penasihat Undang-Undang Negeri iaitu wakil dari Pejabat Peguam Negara.

"Beliau tentunya sudah meneliti secara mendalam sebelum RUU berkenaan digubal untuk dibawa ke Dun. Selepas diluluskan, RUU berkenaan sekali lagi dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu di setiap negeri sebagai pemimpin agama Islam negeri-negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Cheka itu berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, keputusan mahkamah terbabit menimbulkan rasa kecewa mendalam dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Katanya, penegasan Tengku Maimun bahawa keputusan itu tidak berkaitan dengan doktrin Islam, tetapi lebih kepada interpretasi undang-undang adalah satu perkara yang perlu direnungi bersama dalam konteks penghormatan terhadap kedudukan syariah dalam perlembagaan negara.

"Asas utama penghakiman adalah kerana kesalahan berkenaan sudah ada dalam mahkamah Persekutuan. Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya membicarakan kes yang sama.

"Pertanyaannya, siapakah yang terlebih dahulu menggubal enakmen bagi kesalahan yang sudah dibatalkan itu. Kita mengetahui bahawa undang-undang Islam sudah digubal jauh lebih awal sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan pembatalan ini, banyak pihak yang seharusnya bertanggung jawab dalam hal ini. Namun, yang jelas, bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan peranannya dalam melaksanakan perintah Allah menjadi semakin mencabar.

"Keputusan ini menunjukkan bahawa hukum syarak, yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran Allah, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang-bayang undang-undang ciptaan manusia yang bersifat sekular," katanya.

Tambahnya, isu seumpama ini tidak sepatutnya menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, khususnya di kalangan umat Islam, kerana keharusan untuk melaksanakannya adalah perintah Allah yang jelas kepada seluruh umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 12:35 PM