KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. FOTO arkib NSTP
KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan petisyen yang dikemukakan seorang peguam dan anaknya tiada kena mengena dengan isu kesucian Islam atau kedudukan mahkamah syariah di negara ini.

Beliau menjelaskan, pihak yang mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dan mahkamah sivil yang membenarkan petisyen mereka, tidak boleh dianggap menentang Allah SWT.

"Peruntukan yang dipertikaikan itu bukan ditetapkan oleh Allah SWT, sebaliknya digubal oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan, jika mahkamah sivil membenarkan cabaran ini, pihak yang mencabar dan mahkamah sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah.

"Mahkamah syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur atau diletakkan `batu nisan' seperti yang didakwa peguam Yusfarizal Yussoff.

"Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen bukanlah kedudukan undang-undang syariah kerana dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang didakwanya melangkaui kuasa," katanya ketika membaca keputusan itu di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan mahkamah syariah.

Tengku Maimun menyatakan demikian dalam penghakiman bersejarah ketika membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul, 26.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Mahkamah tertinggi negara bagaimanapun memutuskan dua peruntukan lagi yang turut dicabar oleh kedua-dua pempetisyen iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.

Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah membabitkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

Ketika membacakan penghakiman ringkas mahkamah, Tengku Maimun menyatakan terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir.

Jelasnya, ketua hakim mahkamah syariah setakat ini tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas sebaliknya hanya membabitkan takzir.

"Tiada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-duanya melaksanakan hukum takzir. Bezanya, mahkamah syariah bersumberkan undang-undang dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala mahkamah sivil mengikut undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 2:41 PM