ZAINUL Rijal, gambar fail. FOTO Saddam Yusoff
ZAINUL Rijal, gambar fail. FOTO Saddam Yusoff
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Perbezaan ketara khususnya dari segi tafsiran membabitkan peruntukan undang-undang jenayah Mahkamah Sivil serta Mahkamah Syariah, adalah faktor mengapa wujudnya desakan supaya dibuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, terutama bagi memberi penjelasan terhadap kuasa kedua-dua mahkamah berkenaan.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah memperlihatkan kepincangan yang perlu segera diperbetulkan.

"Ada yang mengatakan biarlah 16 hukuman jenayah syariah itu tidak sah, Mahkamah Sivil masih ada, ia juga takzir dan hukumannya lebih berat. Pada saya jenayah sivil itu bukanlah sepenuhnya takzir, malah terdapat perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan.

"Lagipun hakim Mahkamah Sivil tidak dilatih dalam bidang penghukuman takzir melainkan sesetengah sahaja yang belajar (mengenainya)," katanya kepada BH, hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam enakmen itu yang terbatal adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Sesyen 16).

Mengulas lanjut, katanya, disebabkan itu perlunya kepada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, mengambil kira maksud jenayah dalam hukum syarak dan sivil mempunyai pengertian yang sangat berbeza.

Jelasnya, untuk Mahkamah Sivil, satu perbuatan akan jadi jenayah jika ia menyalahi undang-undang yang dibuat oleh pemerintah, namun ia berbeza bagi pengertian jenayah bagi hukum syarak.

"Undang-undang syariah adalah berdasarkan perbuatan yang dilarang Allah SWT. Pengertian berbeza ini menyebabkan pertimbangan hukuman juga akan jadi berbeza. Contohnya, undang-undang sivil meletakkan kesalahan judi itu jika (individu) berjudi di tempat yang tak dilesenkan. Namun, bagi hukum syarak, judi dilarang sama sekali tidak kiralah (kesalahan itu dibuat) di tempat yang berlesen atau sebaliknya.

"Begitu juga dengan kesalahan zina, mengikut undang-undang sivil, bagi mereka berumur 16 tahun dan ke atas ia tidak dikira sebagai kesalahan jika ia dibuat atas kerelaan hati, jika terpaksa baru dikira salah. Untuk hukum syariah, zina sama ada rela atau tidak, tetap menjadi satu kesalahan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan supaya Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan undang-undang yang boleh dibuat oleh Parlimen dan badan perundangan negeri dipinda.

"Perlu diberikan penjelasan mengenai definisi jenayah dan ia tidak termasuk kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam yang melanggar perintah agama Islam.

"Selain itu perlu kepada pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk jelaskan kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah. Oleh kerana sekarang tidak jelas, maka Mahkamah Persekutuan (sebagaimana dalam petisyen Nik Elin) terpaksa membuat tafsiran mengikut pendirian hakim," katanya.

Mengulas mengenai isu hukuman yang diperuntukkan bagi kes jenayah di Mahkamah Syariah yang tidak seberat Mahkamah Sivil, katanya, mengikut prinsip hukuman dalam Islam, ia dibuat bukanlah untuk mendera, sebaliknya bagi mendidik.

Tambahnya, pada masa sama, Kerajaan Persekutuan disaran supaya segera menggubal 16 Seksyen terbabit yang diisytiharkan sebagai tidak sah.

Beliau turut berkata, pindaan bagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 turut penting dalam memperkasa semula bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Pindaan kepada Akta 355 akan meningkatkan takat hukuman dan meletakkan hukuman restoratif lain sebagai hukuman yang sah boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Ia juga sejajar dengan falsafah hukuman dalam Islam yang mahu mendidik. Malah, membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat hukuman lebih dari 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan syariah.

"Pindaan ini (sehingga kini) tidak dibuat oleh mana-mana kerajaan sama ada Barisan Nasional, PH, Keluarga Malaysia, PN ataupun Kerajaan Perpaduan. Jangan salahkan mana-mana kerajaaan. Salahkan semua kerana tidak meminda Akta 355," katanya.

Tegasnya, pemerkasaan Mahkamah Syariah juga penting bagi mengelakkan berulangnya kes jenayah syariah seperti pertuduhan terhadap Iki Putra yang sehingga kini bebas daripada pertuduhan liwat.

Iki Putra sebelum ini mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

"Jika seksyen kesalahan syariah tidak sah sepatutnya sivil mengambil tempat. Tetapi ini tidak berlaku (dalam kes Iki Putra).

"Akhirnya dia terlepas daripada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya.

Sementara itu, mantan Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Muhamad Asri Abdullah berkata, bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah adalah kabur dan tidak jelas.

"Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kuasa Dun untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan adalah kabur dan tidak jelas.

"Jadual Kesembilan Perlembagaan, Senarai Kedua tidak memperincikan satu persatu perkara berkenaan seperti dalam kes sivil.

Dalam perkara jenayah, Perlembagaan tidak menyebut satu persatu jenis kesalahan, peruntukan berkenaan hanya disebut secara umum iaitu 'pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan'," katanya.

Tegasnya, perkara ini menjadi punca pertikaian, sama ada kesalahan jenayah berkenaan dikatakan bertindih antara bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

"Inilah masanya kerajaan yang mempunyai kuasa atau sokongan majoriti Ahli Parlimen dan DUN mengeluarkan taring untuk membuat perubahan bagi mengatasi kelemahan seperti apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Kes Nik Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan, kes lain yang telah diputuskan dan (kes) yang bakal dibawa ke mahkamah.

"Pihak yang berwajib janganlah hanya merasa lemah atau kecewa tanpa membuat tindakan yang lebih berkesan untuk memperbaiki institusi Mahkamah Syariah, perundangan Islam, guaman Islam, pendakwaan serta anggota kehakiman dan perundangan Islam.

"Inilah masanya kita membuktikan kewujudannya adalah bertujuan mengharmonikan keperluan atau hajiyyat masyarakat Islam dan bukan Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 5:31 PM