KERETA Proton Saga bersama tujuh bungkusan plastik ganja bernilai RM 22,000 dirampas daripada dua lelaki warga tempatan berhampiran JPJ Kalumpang, semalam. FOTO Ihsan Polis
KERETA Proton Saga bersama tujuh bungkusan plastik ganja bernilai RM 22,000 dirampas daripada dua lelaki warga tempatan berhampiran JPJ Kalumpang, semalam. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi dua lelaki warga tempatan dan merampas 6.276 kilogram ganja bernilai RM 22,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melakukan tangkapan menerusi pemerhatian berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kalumpang, di sini, jam 8.20 malam.

Beliau berkata, polis mengesan sebuah kereta Proton Saga dinaiki suspek masing-masing berusia 31 dan 43 tahun.

"Polis kemudian merampas tujuh bungkusan plastik foil berwarna kekuningan dengan setiap satu berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja.

"Kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai buruh dan hasil semakan rekod mendapati seorang daripadanya mempunyai tujuh rekod lampau dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ganja.

Beliau berkata, polis percaya semua dadah itu akan dipasarkan di sekitar daerah Hulu Selangor.

"Ganja yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 12,552 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 14 Februari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Pada masa sama, tindakan di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi menyiasat aset-aset milik sindiket turut dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 6:35 PM