BERNAMA

Tapah: Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dadah disyaki syabu yang menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sebagai makmal mini di Chenderiang di sini, semalam.

Serbuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di ladang berkenaan pada kira-kira jam 9.15 pagi itu turut menahan enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar bersama rampasan syabu bernilai anggaran RM1.6 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di Kuala Lumpur serta Seri Kembangan dan Shah Alam, Selangor dalam masa yang sama.

"Selain syabu seberat 37.2 kilogram, polis turut merampas tujuh kereta, sebuah motosikal, tiga jam tangan, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM115,490," katanya di sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati makmal memproses dadah yang didirikan dengan khemah itu mula beroperasi pada Mei lalu dan jumlah dadah yang boleh digunakan seramai 186,000 penagih itu diproses untuk dijual di sekitar Lembah Klang.

Razarudin berkata, polis sedang mengesan pemilik ladang yang menjadi lokasi pemprosesan dadah berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, semakan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan pula mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis ganja.

"Kesemua mereka yang berumur 17 hingga 45 tahun kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 4:41 PM