HAMZAH (dua kanan) menunjukkan rampasan daripada serbuan. FOTO Fardy Bungga
HAMZAH (dua kanan) menunjukkan rampasan daripada serbuan. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


Ampang: Wartawan antara lima suspek yang ditahan di Bukit Antarabangsa, di sini, selepas dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran biskut ganja buatan sendiri, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, serbuan pertama di rumah seorang suspek berjaya menemui empat ketulan mampat daun kering seberat 733 gram ganja dan tiga keping biskut yang disyaki mengandungi ganja.

Katanya, hasil daripada tangkapan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah berhampiran lokasi pertama dan berjaya menemui satu balang berisi biskut coklat yang turut disyaki mengandungi dadah jenis ganja.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek berusia lingkungan 24 hingga 27 tahun itu juga didapati positif ganja.

"Jumlah keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM7,470 dan semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut,"katanya pada sidang media di IPD Ampang Jaya, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 4:36 PM