ENAM pelancong asing yang terperangkap di balkoni luar bangunan tingkat tiga diselamatkan pasukan bomba. FOTO Ihsan JBPM
ENAM pelancong asing yang terperangkap di balkoni luar bangunan tingkat tiga diselamatkan pasukan bomba. FOTO Ihsan JBPM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan enam pelancong asing yang terperangkap dalam bangunan selepas sebuah bilik penginapan 'backpacker' terbakar di Jalan Haji Yaakub, Kampung Air di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa dari Switzerland, Slovakia, Rusia, Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun terperangkap di balkoni luar bangunan tingkat tiga berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.49 pagi dan 35 anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejar ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah bilik penginapan di tingkat tiga.

"Lima bilik lagi terjejas akibat terkena bahang api dan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dari sumber air jentera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, terdapat enam pelancong asing di balkoni luar bangunan tingkat tiga berjaya diselamatkan.

"Pasukan bomba berjaya membawa turun enam pelancong yang terperangkap di balkoni.

"Semua mangsa berusia 22 hingga 28 tahun selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, operasi terkawal pada jam 9.10 pagi dan operasi ditamatkan sejam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:25 PM