Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) memerlukan sumbang saran semua pihak termasuk guru, pemegang taruh dan pemain industri untuk bersama memperkukuhkan masa depan pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, menghampiri 2024 dan menuju 'soft landing' Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025), pengumpulan idea itu menerusi jerayawara dengan guru mempunyai peranan penting memastikan kejayaan PPPM.

"Ini semua adalah cabaran dan yang sebenarnya sedang diangkat melalui Belanjawan 2024 baru-baru ini. Ada beberapa tumpuan antara lain termasuk TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

"Saya percaya perlukan banyak inovasi dan lebih banyak guru tampil membantu untuk mengangkat hala tuju pendidikan negara. Jelajah Pendidikan, Kurikulum Baharu 2027 perlu kerjasama semua guru untuk memastikan kejayaannya.

"Kolaborasi sektor awam dan rakan strategik turut amat diperlukan bagi mengangkat potensi guru dan kualiti pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah The Malaysia Teacher Prize 2023 bertema 'Dari Bilik Darjah ke Persada Dunia' di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari, Pemegang Amanah Yayasan ECM Libra, Lim Beng Choon dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemimpin GSL dan Pengasas Bersama Malaysia Teacher Prize, Cheryl Ann Fernando.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, laporan PPPM tahun lalu yang dikeluarkan baru-baru ini memperlihatkan kejayaan seperti akses pendidikan yang semakin meningkat.

"Kita juga memberikan tumpuan kepada inisiatif pendidikan karakter. Begitu juga dengan kesenjangan yang ada dalam bidang pendidikan sudah pun dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata, KPM akan terus komited mengurangkan jurang pendidikan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan memberi tumpuan kepada sekolah daif.

Sementara itu, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Sarawak dinobat pemenang Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023.

Kemenangan terbabit membolehkan guru berusia 30 tahun yang berasal dari Lawas, Sarawak itu membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi.

FADHLINA (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada Cikgu Muhammad Nazmi yang diumumkan pemenang Malaysia Teacher Prize 2023, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
FADHLINA (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada Cikgu Muhammad Nazmi yang diumumkan pemenang Malaysia Teacher Prize 2023, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:56 PM