ANAK panah yang tertusuk di lengan kanan mangsa ketika menangkap ikan di Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
ANAK panah yang tertusuk di lengan kanan mangsa ketika menangkap ikan di Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Belud: Lelaki cedera selepas lengan kanannya tertusuk anak panah ketika menangkap ikan, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 25 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas sukar untuk mengeluarkan anak panah berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan dari Kecemasan Hospital Kota Belud, jam 11.59 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi berkenaan.

"Pasukan bomba bertindak memotong besi panah dan seterusnya diserahkan kepada hospital untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keadaan mangsa stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 7:35 AM