Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Tanjung Pasir Labuan, Kota Belud. FOTO IHSAN JBPM
Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Tanjung Pasir Labuan, Kota Belud. FOTO IHSAN JBPM
Recqueal Raimi


Kota Belud: Lelaki melecur ketika cuba mencari seorang daripada anaknya ketika rumah didiaminya di Kampung Tanjung Pasir Labuan di sini, terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa Razmi Sirun, 35, cedera pada bahagian belakang badan akibat terkena bahang api, dan dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba.

Bagaimanapun, dua anak serta isteri mangsa berjaya keluar dari rumah terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 4.07 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba, rumah jenis tidak kekal didiami empat sekeluarga itu terbakar dan musnah 100 peratus.

"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 4.55 petang," katanya dihubungi, hari ini.

Menurut Muhammad Syazwan berkata, mangsa diberi rawatan awal oleh unit EMRS sebelum dihantar ke hospital Kota Belud untuk menerima rawatan lanjut.

"Punca kebakaran masih disiasat dan operasi ditamatkan pada 6.06 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 7:44 PM