ANAK panah yang tertusuk di bahagian hidung mangsa ketika menangkap ikan. FOTO Ihsan JBPM.
ANAK panah yang tertusuk di bahagian hidung mangsa ketika menangkap ikan. FOTO Ihsan JBPM.
Juwan Riduan


Ranau: Seorang remaja lelaki cedera selepas hidungnya tertusuk anak panah ketika menangkap ikan dengan rakannya di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang cedera di hidung dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas difahamkan sukar untuk mengeluarkan anak panah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.59 petang.

Katanya, sepasukan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dihantar ke hospital berkenaan.

"Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak memotong anak panah yang tertusuk di bahagian hidung mangsa dengan menggunakan 'bolt cutter'.

"Anak panah berjaya dikeluarkan dan mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 5.11 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 10:08 PM