DATUK Noor Azman Rahman. FOTO AIZUDDIN SAAD
DATUK Noor Azman Rahman. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjawab kritikan peminat yang mempersoalkan usaha badan induk bola sepak tempatan itu dalam mencari 'sparring' sebelum aksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada 6 dan 11 Jun ini.

Terdahulu, FAM gagal mencari 'lawan sekufu' buat skuad Harimau Malaya yang akhirnya terpaksa berdepan kelab Liga Malaysia (Liga M) dengan menentang pasukan Perak FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, di mana ia akan dilangsungkan secara tertutup.

"Memang kita sedar benda itu (kritikan peminat). Kita dah mohon empat hingga lima negara untuk aksi persahabatan tapi semuanya tak dapat sebab ia bukan dalam kalendar Fifa.

"Jadi apa yang kita buat akan bertemu kelab tempatan. Jadi dari segi jurulatih dia amat berpuas hati, kita tak dapat (lawan negara luar), memang kita berusaha," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Ujarnya lagi, beberapa negara dipelawa seperti Vietnam, Brunei dan tiga lagi pasukan namun tidak berjaya mencapai kata sepakat kerana permintaan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu ia diadakan di luar jendela antarabangsa Fifa.

Untuk rekod, Pan-gon memanggil latihan pusat lebih awal pada 27 Mei lalu daripada kalendar Fifa yang hanya bermula 3 Jun ini.

Langkah jurulatih dari Korea Selatan itu sebenarnya tepat bagi membolehkan anak buahnya terutama tonggak baharu untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan dimahukan Pan-gon.

Apa yang dilakukan Pan-gon hanyalah dengan satu matlamat, untuk memastikan pasukan negara benar-benar bersedia sebelum turun mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan itu.

Begitupun segelintir peminat tidak memahami situasi itu dengan membuat pelbagai andaian tidak bertanggungjawab tanpa melihat dari sudut positif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 12:31 PM