BOMBA memadam kebakaran rumah di Kampung Sangkir, Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran rumah di Kampung Sangkir, Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Belud: Wanita bersama dua anaknya cedera ringan selepas terjun dari tingkat dua rumahnya di Kampung Sangkir, di sini, yang terbakar, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 46 tahun dan dua anak lelakinya berusia 14 dan enam tahun dilaporkan cedera ringan di bahagian kaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 1.40 pagi.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak mengawal dan memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang wanita bersama dua anaknya cedera ringan selepas terjun dari tingkat dua rumahnya yang terbakar untuk menyelamatkan diri.

"Tiga beranak yang cedera ringan kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Operasi terkawal kira-kira jam 3 pagi sebelum operasi ditamatkan 28 minit kemudian.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 9:51 AM