Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyediakan tujuh pusat peperiksaan alternatif untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekiranya berlaku banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, tujuh pusat peperiksaan yang berisiko banjir membabitkan enam di Pasir Mas dan satu di Tumpat.

Katanya, antara sekolah yang terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Maahad Muhamadi Rantau Panjang membabitkan calon SPM dan STPM.

"Lima lagi sekolah berisiko banjir hanya membabitkan calon SPM iaitu Sekolah Menengah Ugama (A) Diniah; Sekolah Menengah Ugama (A) AI-Falah Siram; SMK Meranti; Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Meranti; dan Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang di Tumpat.

"Melalui pelan tindakan banjir, pusat peperiksaan di SMK Rantau Panjang akan dikekalkan dan dipindahkan ke aras bangunan lebih tinggi; Maahad Muhamadi Rantau Panjang dipindahkan ke SMK Gual Periok; dan Sekolah Menengah Ugama (A) Diniah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.

"Selain itu, Sekolah Menengah Ugama (A) AI-Falah Siram ke Sekolah Kebangsaan (SK)Banggol Chicha; manakala SMK Meranti dan Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Meranti masing-masing di SK Meranti; sementara Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang di Tumpat ke SMK Chabang Empat," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas tinjuan hari pertama SPM 2023 di SMK) Dato' Ahmad Maher, di sini, hari ini.

MOHD Zamri (kiri) memberi taklimat kepada pelajar-pelajar sebelum memasuki Dewan peperiksaan bertulis Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 ketika meninjau di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Zamri (kiri) memberi taklimat kepada pelajar-pelajar sebelum memasuki Dewan peperiksaan bertulis Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 ketika meninjau di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, dianggarkan lebih 600 calon yang terjejas banjir akan dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif terdekat sekiranya sekolah mereka dinaiki air.

"Bagi pusat yang mempunyai asrama, calon akan ditempatkan di asrama, manakala bagi sekolah yang tidak ada asrama akan ditempatkan di pusat alternatif.

"Pihak JPN sudah mengarahkan pengurus peperiksaan sekolah untuk memaklumkan kepada calon supaya hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan sekiranya berlakunya banjir.

"Pusat asal yang ditenggelami banjir akan ditutup dan peperiksaan akan dijalankan di pusat alternatif," katanya.

Tambah beliau, calon yang terkandas dengan banjir juga boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang berhampiran.

Seramai 26,664 calon yang menduduki SPM 2023 di 294 pusat peperiksaan di seluruh Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 10:57 AM