Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Seramai 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 membabitkan tujuh sekolah di daerah ini hanya akan menduduki kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan peperiksaan bagi kedua-dua kertas berkenaan pada esok dan Khamis ini kepada pelajar terbabit berikutan masalah banjir.

Katanya, tujuh sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, SMK Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMUA Al-Falah, SMUA Khairiah Banggol Setol, SMK Baroh Pial dan Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

"Pelajar berkenaan terpaksa menangguhkan dua kertas peperiksaan berikutan tujuh sekolah di daerah Pasir Mas dilanda banjir dan tiada pusat peperiksaan alternatif yang sesuai.

"Bagaimanapun, bagi peperiksaan kertas lain, ia berjalan seperti biasa bergantung kepada keadaan banjir

"Setakat ini hanya 708 calon yang terbabit banjir, manakala di Terengganu semua calon SPM akan menduduki peperiksaan seperti biasa esok walaupun ada sekolah terjejas banjir, namun terdapat pusat peperiksaan alternatif yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.

Radzi berkata, mana-mana calon SPM yang terkesan dengan banjir atau sukar ke pusat peperiksaan boleh berhubung dengan guru atau pengetua sekolah untuk tindakan lanjut.

"Kita sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar. Sekiranya berlaku banjir atau paras air semakin naik dalam tempoh peperiksaan berlangsung sehingga menjejaskan pusat peperiksaan, kita akan mengambil tindakan selanjutnya.

"Kita terpaksa menutup sekolah berkenaan sekiranya tiada pusat peperiksaan alternatif yang bersesuaian di sekitar kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata, sidang kedua untuk peperiksaan SPM bukan perkara baru kerana tahun lalu juga peperiksaan itu mempunyai sidang kedua berikutan terdapat calon SPM yang positif Covid-19.

Pada masa sama katanya, mana-mana calon SPM yang terjejas akibat banjir sehingga pakaian sekolah rosak, mereka boleh memakai apa sahaja pakaian yang bersesuaian sepanjang peperiksaan berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 12:55 PM
Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR