Pulau Batu Puteh, gambar fail. FOTO NSTP
Pulau Batu Puteh, gambar fail. FOTO NSTP
Rohaniza Idris


Putrajaya: Keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan akan diumumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penubuhan RCI itu perlu disembah maklum terlebih dahulu kepad aYang di-Pertuan Agong.

Katanya, selepas mendapat perkenan Tuanku, barulah boleh diumumkan keanggotaan dan komposisi serta terma dan rujukan RCI itu.

"Berdasarkan perbincangan Jemaah Menteri, penubuhan RCI ini adalah satu perkara yang mustahak kerana ia membabitkan isu sempadan dan menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu," katanya kepada media di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.

Katanya penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:35 PM