Nelayan warga Thailand mati ditembak oleh sekumpulan suspek warga Indonesia semasa menangkap ikan di atas bot majikannya di perairan Pantai Remis, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Nelayan warga Thailand mati ditembak oleh sekumpulan suspek warga Indonesia semasa menangkap ikan di atas bot majikannya di perairan Pantai Remis, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Nelayan warga Thailand maut akibat ditembak di kepala oleh kumpulan penjenayah disyaki warga Indonesia di perairan Pantai Remis, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh majikan mangsa pada 12.20 tengah hari memaklumkan seorang pekerjanya mati ditembak.

Menurutnya, mangsa ditembak oleh sekumpulan penjenayah disyaki warga Indonesia semasa berada di atas bot milik majikan terbabit.

"Pengadu (majikan) dimaklumkan oleh pekerjanya melalui alat walkie-talkie dalam perjalanan balik ke pelantar ikan di Pantai Remis.

"Pemeriksaan awal polis mendapati mangsa meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 10:41 AM