LELAKI (dua dari kanan) yang disiasat berhubung kes kebakaran kenderaan dan rumah Ngeh dibebaskan dengan jaminan polis. FOTO Muhamad Lokman Khairi
LELAKI (dua dari kanan) yang disiasat berhubung kes kebakaran kenderaan dan rumah Ngeh dibebaskan dengan jaminan polis. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Lelaki yang disiasat berhubung kes kebakaran kenderaan dan rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, hari ini.

"Arahannya tangkapan akan dibebaskan esok dengan jaminan polis serta menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit untuk menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan polis.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki itu ditahan 4 pagi pada 12 Januari lalu di Shah Alam, Selangor.

Dalam kejadian 10 Januari lalu, Mercedes Benz E300 milik Ngeh hangus terbakar di pekarangan rumahnya di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, dengan polis mengesahkan penemuan molotov cocktail di lokasi kejadian dipercayai menjadi punca kebakaran terbabit.

Insiden itu turut mengakibatkan kerosakan pada Honda CR-V, Toyota Hilux dan siling halaman rumah Ngeh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:56 PM