KEBAKARAN rumah kedai di Kampung Baru, Ayer Tawar, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN Bomba
KEBAKARAN rumah kedai di Kampung Baru, Ayer Tawar, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN Bomba
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Lelaki warga emas lumpuh ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai di Kampung Baru, Ayer Tawar, di sini, malam tadi.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Loo Leng Wion, 90, ditemukan oleh anggota penyelamat selepas hampir empat jam operasi pemadaman.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.41 malam.

"Setibanya jentera di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kedai dua tingkat. Kebakaran dianggarkan kira-kira 70 peratus.

"Seorang mangsa dijumpai pada 3.35 pagi berdekatan dengan pintu bilik di tingkat atas dan disahkan maut oleh pegawai kesihatan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi itu turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan, BBP Pantai Remis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Air Tawar dan PBS Pantai Remis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 8:05 AM