Oleh Norsharuddin Sapian


Manjung: Seorang suri rumah maut akibat motosikal ditunggangnya terbabas selepas diragut dalam kejadian lewat petang semalam di Taman Bintang, Pantai Remis, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 6.19 petang itu, mangsa dikenali sebagai Lau Kwi Lan, 57, dikatakan menunggang motosikal bersendirian dari arah Pantai Remis menuju rumahnya di Taman Melati Pantai Remis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, sebaik sampai di jalan dalam Taman Bintang, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas hingga terlanggar pokok kelapa sawit di bahu jalan sebelah kiri.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sri Manjung dan disahkan meninggal dunia ketika sampai.

"Anak mangsa mendakwa sempat berjumpa dengan mangsa sebelum ibunya meninggal dunia dan mangsa memberitahu yang dua diragut ketika menynggang motosikal dan menyebabkan kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, butiran peragut terbabit tidak dperoleh dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 2:33 PM