MAYAT dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. FOTO Rosli Ilham
MAYAT dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


"HATI ini secara tiba-tiba teringat sangat kepada abang, rupanya itu petanda saya akan kehilangan dia," kata Nik Syurasbil Yaacob, 30, yang menemui mayat abangnya di Ladang Rakyat, Felda Kerteh 2, dekat Dungun, hari ini.

Nik Syurasbil berkata, dia menemui mayat abangnya, Sayutzi Yaacob, 49, dalam keadaan terbaring dengan mulut berdarah jam 7.30 pagi.

"Saya ke rumah abang dan diberitahu isterinya dia tidak pulang. Abang juga tiada di rumah ibu kami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia puas mencari abangnya di sekitar kampung namun gagal sebelum mengambil keputusan mencari di kebun.

"Biasanya kalau abang nak masuk dan keluar ke kebunnya, dia mesti singgah rumah memaklumkan kepada saya.

"Saya pada mulanya malas ke kebun kerana lokasinya sangat jauh dan mengambil masa 40 minit untuk sampai ke sana, tambahan pula keadaan jalan berlumpur dan berliku," katanya.

Katanya, dia mengambil keputusan masuk ke kebun itu dengan menunggang motosikal sebelum menemui abangnya sudah meninggal.

Isteri mangsa, Noni Wahab, 46, berkata, ketika itu dia berada di tempat kerjanya di Paka dan sungguh terkejut dimaklumkan suaminya meninggal dunia.

"Dia kerap memancing di sungai berhampiran kebunnya itu dan sering tidur di situ termasuk di rumah ibunya.

"Pagi semalam adalah yang terakhir saya menemuinya dan malam tadi dia tidak pulang ke rumah dan saya sangka dia tidur di kebun atau rumah ibu mentua," katanya.

Katanya, suaminya itu tidak pernah mengadu sakit dan sangat sedih apabila dimaklumkan suaminya itu meninggal serangan jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, polis menerima laporan jam 9 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Siasatan polis mendapati tidak berlaku sebarang jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 7:16 PM