Keadaan bas yang terbakar 100 peratus dalam kemalangan di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), awal pagi tadi. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Keadaan bas yang terbakar 100 peratus dalam kemalangan di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), awal pagi tadi. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seorang lagi mangsa kemalangan bas ekspres yang terbakar di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat sini, meninggal dunia, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa, Peer Mohamed Kannudeen, 70, yang melecur 80 peratus disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka pada jam 8.57 malam.

Menurutnya, lelaki berasal dari Tamil Nadu, India itu adalah datuk kepada mangsa pertama, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, yang meninggal dunia di Hospital Alor Gajah, pagi semalam.

"Mangsa pertama akan dikebumikan hari ini di Kuala Ina, dekat sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Arshad, seorang lagi mangsa, Anissa Begum Fakrudin Hussaini, 45, ibu kepada Yafarah Taj, yang melecur 50 peratus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka.

Katanya, kakak dan nenek Yafarah Taj yang cedera ringan sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan, semalam.

Bas ekspres dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada jam 3.50 pagi, semalam.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur membawa 28 penumpang warga Malaysia, Taiwan, India, Singapura dan United Kingdom.

Baki 23 penumpang lagi terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 3:20 PM