Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pelan pembangunan pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dirancang pimpinan Kementerian Pertahanan (Mindef) terdahulu akan diteruskan, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang memulakan tugas pertama selepas rombakan Kabinet, 15 Disember lalu berkata, ia termasuk memastikan kejayaan Kertas Putih Pertahanan dan pelan strategik lain untuk ATM.

Katanya, pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan menggantikan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bermakna beliau perlu mengubah atau menghentikan perkara asas yang memberi kebaikan kepada Mindef dan ATM.

"Saya ingin menegaskan bahawa pertukaran amanah untuk menerajui tampuk kepimpinan kementerian ini daripada pentadbiran sebelum ini kepada saya tidak sama sekali bermakna segala yang telah dipersetujui dan dibangunkan sebelum ini akan ditinggalkan atau dihentikan serta-merta.

"Sebaliknya saya memberi jaminan segala perkara asas yang dibangunkan dengan baik akan saya teruskan," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2024 Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.

KHALED (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman ketika Majlis Perutusan Tahun Baharu 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Shahril Badri Saali
KHALED (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman ketika Majlis Perutusan Tahun Baharu 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Shahril Badri Saali

Beliau turut berterima kasih kepada semua warga kementerian dan ATM yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam menjalankan tugas, fungsi dan mandat diberikan dengan cemerlang.

"Sekalung tahniah saya ucapkan untuk segala kerja keras dan sumbangan semua warga ATM dan kementerian sepanjang tahun 2023.

"Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan saya kepada mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kepimpinan beliau menerajui kementerian ini," katanya.

Katanya, beliau berharap semua warga ATM dan kementerian dapat melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan lebih baik pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 2:32 PM