TAN Sri Azam Baki. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TAN Sri Azam Baki. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rohaniza Idris


Sepang: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri untuk memberi keterangan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau berkata, turut akan dipanggil, pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.

"Tidak kurang daripada empat orang akan dipanggil (memberikan keterangan) dan seorang dari dua bekas Perdana Menteri dipanggil memberikan keterangan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan kes siasatan SPRM terhadap proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Sebelum ini, dilaporkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan siasatan dijalankan.

SPRM juga mengesahkan sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kes itu.

Ia untuk meneliti bagaimana kelulusan serta dan dikeluarkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 4:16 PM