ANWAR beramah mesra dengan warga kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Blok B, Wisma PTP, Gelang Patah, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANWAR beramah mesra dengan warga kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Blok B, Wisma PTP, Gelang Patah, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan tidak mensasarkan mana-mana bekas pemimpin, susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan siasatan berkaitan rasuah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, SPRM hanya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi membanteras rasuah tanpa mengira status dan kedudukan.

"Itu urusan SPRM, tetapi saya tidak mahu orang anggap ini (rasuah) perkara yang kecil. Kes baharu atau lama, semua disiasat.

"Jika tak salah, tak perlu bimbang kerana siasatan akan dibuat teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti yang kukuh.

"Namun janganlah sesetengah orang menganggap (tindakan SPRM) sasar orang tertentu dan sebagainya kerana ia akan beri gambaran seolah-olah ada orang-orang atau jerung-jerung besar terlepas.

"Saya tidak mahu (dianggap) memerangi rasuah dengan menekan (bekas pemimpin) di bawah," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama petugas dan kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, hari ini.

Anwar mengulas sama ada terdapat nama-nama besar atau 'jerung' yang bakal disiasat atas kesalahan rasuah selepas ini.

Pada 4 Januari lalu, SPRM dilaporkan memanggil empat individu bagi membantu siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Semalam, isteri Tun Daim dilaporkan mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaannya sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Toh Puan Naimah Khalid dilaporkan mendakwa disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

Selain itu, SPRM dilaporkan mengesahkan merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung dana RM700 juta bagi tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Selain Ahli Parlimen Bera, SPRM turut mengesahkan memanggil isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daimiaitu Toh Puan Naimah, dan dua anaknya Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan mereka.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, keterangan ketiga-tiga ahli keluarga tokoh konglomerat ini diambil bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau tidak peduli pada cemuhan segelintir pihak di sebalik tindakan agresif pentadbirannya memerangi rasuah.

"Biarlah orang nak cemuh, jika nak selamatkan negara kena bersihkannya supaya jangan ada lagi pemimpin yang curi duit dan harta negara lagi.

"Amalan yang nak bunuh kedudukan, menyalahgunakan pangkat dan ambil kesempatan menerima sogokan perkayakan diri adalah amalan yang sebabkan Malaysia kecundang dalam banyak hal dan perlu dihentikan.

"Maksud saya ini termasuk jika ada kedudukan dengan menggunakannya nak perkayakan anak isteri. Walau saya tahu ada yang tak senang (tindakan perangi rasuah) namun ia perlu dilakukan bagi selamatkan negara.

Negara harus bersih dari rasuah," katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berkata, pembangunan negara tergendala dengan banyak kemudahan kepada rakyat tidak dapat disediakan jika rasuah berleluasa.

"Jika negara hilang berbilion-bilion ringgit (akibat rasuah) bagaimana kerajaan nak baiki sektor kesihatan, pendidikan dan sediakan prasarana untuk rakyat.

"Contohnya projek membaiki tandas sekolah dan baik pulih sekolah daif selain kemudahan rakyat dalam sektor pendidikan dan kesihatan semuanya akan terbantut kerana wang untuk bangunkan negara dicuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 5:16 PM