GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menahan seorang pengasuh wanita kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Jalan Ampang Indah, di sini, Khamis lalu.

Penahanan itu dibuat selepas bapa kanak-kanak terbabit membuat laporan polis pada 17 Disember lalu apabila mendapati ada kesan luka dan lebam pada badan anaknya itu.

Difahamkan, sehari sebelum laporan itu dibuat, ibu mangsa menemukan kesan lebam pada badan anaknya, namun pengasuh berusia 39 tahun itu mendakwa kanak-kanak itu terjatuh tangga.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa dibawa ke Hospital Ampang dan pegawai perubatan mengesahkan ada kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa.

Susulan itu, beliau berkata, pada 10 malam Khamis lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek di Jalan Indah, Taman Ampang Indah kerana disyaki terbabit dengan kes yang disiasat.

"Semakan dapati suspek tiada rekod lampau. Suspek adalah pengasuh kepada mangsa ketika ibunya keluar bekerja dengan bayaran RM800 sebulan.

"Ibu mangsa menyewa bilik di rumah suspek dengan bayaran sewa RM550 sebulan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, permohonan reman suspek di Mahkamah Ampang dibenarkan selama lima hari bermula kelmarin hingga Khamis depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 9:21 PM