LAPORAN porta Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN porta Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan dipercayai terbabit dalam kes penderaan dua kanak-kanak di sebuah kondominium di Taman Cahaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, individu yang ditahan adalah ibu saudara dan suaminya yang berusia 33 dan 29 tahun.

"Terdahulu polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.40 petang berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai cuba untuk terjun daripada tingkat empat kondominium berkenaan.

"Berdasarkan siasatan kejadian berkenaan kemudian membawa kepada penangkapan pasangan suami isteri berkenaan pada jam 6 petang.

"Suspek wanita adalah adik kepada ibu kandung mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek wanita tidak bekerja manakala suspek lelaki bekerja sebagai pemandu e-hailing dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Tangkapan yang dijalankan turut membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai adik mangsa.

"Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ini turut mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tinggal dengan suspek sejak dua tahun lalu selepas bapa kandung mereka meninggal dunia.

"Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terperangkap di belebas tingkap dalam usaha untuk melarikan diri selepas dikurung di sebuah kondominium.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit selepas menerima laporan dari orang awam pada jam 4.41 petang.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar daripada tingkap bilik berkenaan sebelum terperangkap di belebas tingkap berkenan.

Berita berkaitan:

  • Budak mangsa dera diselamatkan ketika cuba lari melalui tingkap
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 11:45 PM