KESAN lebam pada badan kanak-kanak akibat dipukul dengan penyangkut baju. FOTO Ihsan keluarga
KESAN lebam pada badan kanak-kanak akibat dipukul dengan penyangkut baju. FOTO Ihsan keluarga
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan seorang wanita mengambil anak lelaki berusia dua tahun pulang awal dari sebuah tadika di Pandan Indah, Jumaat lalu, membongkar perbuatan seorang pengasuh memukul anaknya itu dengan penyangkut baju.

Malah, pengasuh wanita berusia 48 tahun yang membuka tadika di dalam rumah di sebuah flat itu didakwa turut mengabaikan mangsa dan kanak-kanak asuhan lain apabila membiarkan anaknya berusia 14 tahun menjaga mereka sementara dia tiada di rumah.

Ibu mangsa, M Eshwari, 37, berkata, dia pada mulanya mengenali pengasuh tadika itu melalui seorang wanita pada Julai lalu sebelum bersetuju untuk menghantar ke tadika terbabit.

"Pada 31 Julai lalu, ketika ingin menghantar anak saya ke tadika itu perasaan sudah berasa pelik apabila ia beroperasi di rumah flat.

"Pengasuh itu memberitahu dia mempunyai sijil pendidikan awal kanak-kanak dan sebelum ini mempunyai tadika sendiri namun disebabkan pandemik Covid-19 dia tidak dapat membayar sewa dan terpaksa beroperasi sementara di rumah sendiri," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Eshwari berkata, walaupun kurang yakin, dia tetap menghantar anaknya itu ke tadika terbabit selepas pengasuh itu memberitahu akan berpindah nanti dan rumah itu hanya tempat sementara.

"Saya juga pelik kerana setiap kali mengambil anak pada waktu petang dia tiada di rumah sebaliknya hanya anaknya itu sahaja yang menjaga kanak-kanak lain.

"Saya juga pernah melihat anak saya bermain dengan kanak-kanak lain sambil menarik rambut masing-masing dan sudah menegur pengasuh terbabit," katanya.

Katanya, kemuncaknya pada 4.30 petang Jumaat lalu, dia menjemput anak pulang awal kerana mendapat cuti sakit namun sekali lagi pengasuh terbabit tiada di rumah.

"Ketika saya ambil anak dia masih tidak mandi dan memakai baju sama pada sebelah pagi.

"Saya yang tidak mahu berfikir panjang terus membawa anak pulang dan ketika di rumah baru menyedari ada kesan lebam di lengan dan badan," katanya.

Menurut Eshwari, selepas menghubungi kembali, pengasuh terbabit dia mengaku ada memukul anaknya menyebabkan dia dan suami kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek sudah ditahan semalam.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 3:01 PM